Sunday, December 20, 2015

Siapa mereka bagi kita???

Bismillahirrahmaanirrahim..

Assalamualaikum wbt..

Perkongsian hari ini..



       Golongan Muallaf adalah satu kumpulan yang perlu diberi perhatian khusus bagi
memastikan akidah mereka terhadap Islam terus kukuh. Ini amat penting kerana
kegagalan pihak-pihak berwajib dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap golongan
muallaf memungkinkan mereka akan menjadi murtad. Bagi tujuan tersebut, golongan
muallaf harus terus dibantu dari segi kerohanian dan jasmani agar dapat menjaga
kesejahteraan hidup mereka.

       Adalah menjadi tanggungjawab bagi keseluruhan umat muslim untuk menjaga
kemaslahatan golongan saudara muslim yang baru memeluk Islam. Kesudian dan
kerelaan mereka untuk meninggalkan kepercayaan dan agama kelahiran mereka
menunjukkan kepada kita tentang keikhlasan mereka untuk menjadi saudara seagama
dalam Islam. Pernahkah kita bayangkan betapa perit dan sedihnya mereka apabila
terpaksa menghadapi pelbagai dugaan dan rintangan keagamaan setelah memeluk agama
Islam. Kekuatan hati dan kecekalan jiwa mereka sememangnya harus dihargai. Ianya
dapat dilakukan dengan memberi sokongan yang termudah buat mereka iaitu
membimbing mereka dengan penuh kasih sayang, menguatkan lagi ukhwah Islamiyyah
bersama mereka. Adalah sesuatu larangan bagi umat Islam yang dilahirkan sebagai
muslim jika menganggap mereka asing, hanya kerana perbezaan budaya asal, keturunan,
ataupun rupa paras mereka yang berkemungkinan berlainan dengan majoriti masyarakat
muslim yang mendiami sesebuah negara. Penekanan dalam mempraktikkan elemenelemen
al-Hikmah dalam berdakwah pastinya akan membuahkan kejayaan dalam
membimbing saudara muslim, sekaligus menguntungkan agama Islam secara
keseluruhannya

Berdasarkan kajian ,telah digariskan beberapa saranan
kepada pihak-pihak tertentu khususnya kepada pendakwah mualaf dan bakal pendakwah
mualaf pada masa kini. Antaranya adalah seperti berikut:(1)

1 Seorang pendakwah mualaf haruslah mempunyai kesabaran dalam menyebarkan
agama Islam kepada golongan bukan Islam.

2 Pendakwah mualaf khususnya haruslah mempunyai pelbagai bentuk ilmu
pengetahuan agar tidak terkial-kial dalam berbicara kepada mad‘u
.
3 Seorang pendakwah mualaf tidak boleh terus menghukum seseorang mad‘u
dalam meyebarkan dakwah Islamiah.

4 Pendakwah seboleh-bolehnya mendalami pengetahuan tentang bahasa lain
kerana bahasa merupakan induk utama dalam menyampaikan dakwah
Islamiah lebih-lebih lagi ketika berhujah dengan masyarakat non-Muslim.

5 Pendakwah mualaf perlu diberi peluang untuk berada dalam media massa agar
dakwah Islamiah semakin berkembang maju.

6 Penulis juga menyarankan kepada pihak tertentu agar tidak memandang
pendakwah mualaf seperti sampah yang tidak bernilai.

7 Sekiranya tidak mampu untuk menjalankan kerja dakwah, tidak menjadi masalah
sekiranya orang awam mampu mewakafkan harta kepada golongan pendakwah
mualaf untuk terus menegakkan kerja dakwah.


(1)Sumber: Rujukan Terbitan PROSIDING PERSIDANGAN ANTARABANGSA
PEMBANGUNAN MUALAF 2013 (ICMuD 2013) 7 - 8 September 2013
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Selangor, Malaysia .

No comments:

Post a Comment