Friday, December 28, 2012






Allahumma solli 'ala Muhammad...

Assalamualaikum w.b.t..

Alhamdulillah..syukur selamanya buat Empunya Zat yg teragung melebihi dari segalanya..

          Semakin lama menahan rindu yang mencambah dan memekar di hati ini untuk menyambung dan

meneruskan tinta yg dhaif di laman ini..seakan tak mampu lagi ditahan,membuak juga akhirnya.

Syukur atas kesempatan ini.

       Akur pada tanggungjawab dan tugas utama sebagai isteri,ibu dan pelajar dalam satu waktu yang

sama,mengejar yg mana dahulu yang ada prioritinya..pastinya suami di tangga utama dari

segalanya.Sungguhpun masih lagi dalam fatrah belajar,namun bukan alasan untuk kita membelakangi tugas

yang lebih utama setelah kita memilih dan menerima untuk disunting menjadi pendamping buat si dia,suami

yang mulia.Atau kata lain,bila kita mengatakan 'ya' pada keputusan berkahwin tika usia yang muda dan masih

dalam tingkat sebagai seorang pelajar,bermakna kita sedia untuk berdepan dan menghadapi

segalanya.

      Bukan satu,bukan dua ujian yang mendatang dan merintang..namun andai kita yakin dan

berpegang dengan prinsip bahawa tiada Dia letakkan tanggungan keatas hambaNya melainkan dengan

kesanggupan dan kemampuan si hamba.

      Dia Maha Tahu,Maha Merancang dan Mengatur yang terbaik buat

hambanya,yang pasti,kita sebagai hamba,'menjagaNya'in shaa Allah Dia akan menjaga kita,

Sentiasalah kita ingat bahawa Dia sekali-kali tidak pernah menzalimi kita,sedang kita yang acapkali menzalimi

dan mendorong kaki ke lembah fasad tanpa kita sedar ataupun tidak sedar.Na'udzubillah.


Borak Ilmiah

  Ingatan kembali pada cerita dan borak lama.Sebulan yang lalu,alhamdulillah berkesempatan bersama

suami dan anak,berkelana ke Terengganu.Setelah sekian lama suami mengidam ke sana,namun sedikit

terhalang dengan tugas dan keadaan si isterinya ini yang dalam 'berpantang'..kita hanya merancangkan,namun

 Dia sebaik-baik Penentu.Namun,syukur..akhirnya terlunas sudah 'ngidaman' suami tercinta untuk menziarahi

sepupu di sana.Sebelum teruskan cerita,suka saya ceritakan,sekadar perkongsian bukan untuk

kemegahan.

    Inilah antara satu dari jutaan kemurniaan dan keeolokan budi yang saya melihat pada diri suami

tercinta,kegigihan suami dalam melaksanakan anjuran Islam,seringkali suami mengingatkan,

"silaturrahim ni,terutama dengan keluarga dan kerabat..kita kena jaga elok...

pentingnya silaturrahim ni dalam hidup kita...

in shaa Allah banyak kebaikan yang Dia bagi pada mereka yang selalu mengeratkan jalinan 

silaturrahim ni..."..

Kagum dengan pekerti suami yang teramatlah menghormati,merai dan meramahi insan-insan sekelilingnya.

Buatmu suami:

Sayang bangga dan bersyukur punyai imam seperti abang.Semoga Allah rahmati abang..

   Kembali pada cerita tadi ya,di sana(Terengganu),saya sempat berbual dan berborak bersama sepupu yang

 7 tahun lebih tua dari saya..kalau tidak silap ya.Kami saling bertukar cerita dan pengalaman,dia juga pernah

menuntut di Mesir selama satu tahun dan juga berkahwin ketika itu.

Dia dengan ceritanya,saya juga begitu...

Di tengah perkongsian,ada satu bicara yang in shaa Allah sedari mula perkahwinan,hingga ke akhirnya akan

saya pegang prinsip ni..

"apapun dan siapapun kita,bilamana menjadi dan bergelar isteri,ketaatan adalah segalanya.."

ya,benar..andai dahulu,syurga saya di bawah telapak kaki emak saya,kini berpIndah tempat,di bawah

telapak kaki suami yang saya cintai.

Saya perlu ingat dan sentiasa faham tentang ini.Walaupun saya bergelar pelajar di sebuah universiti saat

ini,dan tambahan dalam tempoh dan fatrah peperiksaan saat ini...terhadap suami,saya cuba dan akan terus

cuba menjadi yang terbaik,kerana dari ketaatan pada suamilah,saya mampu meraih keredhaan Allah..

in shaa Allah...

      Keyakinan saya yang tinggi hanya padaNya,biarpun nampak susah dan berat dalam menggalas tugas dan

membahagi masa dengan baik antara suami,anak dan pelajaran..namun,dengan kebergantungan

padaNya,saya yakin..Ada hikmah disebalik segalanya..

    Dan saya tahu,kejayaan bukanlah hasil usaha dan study saya..tapi aturan dan kurniaan Dia Yang Maha

Kuasa...

    Yang penting..TAAT ALLAH,TAAT RASUL..TAAT SUAMI...bahagi peranan terbaik buat 

anak,keluarga,agama..dan..

teruskan belajar dan belajar.....dari buaian hatta ke liang lahad!!

Semoga kejayaan mengiringi kita semua,kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat kita 

harapkan.

Insan,lahir kita bukan untuk dunia,namun bagi melayar bahtera buat menuju akhirat..

Wallahuta'ala a'lam..

-menjelang Jumaat(zuhur)



Wednesday, October 31, 2012

                                                  “KULLU ‘AM WA ANTUM BIKHOIR”


Allahu akbar.. Allahu akbar..Allahu akbar..
WalilLahilhamd…

Bismillah..Assalamualaikum w.b t..


   Alhamdulillah..nafas ini masih dapat hamba sedut bersama hembusan iman dan Islam.
Bahang ini masih terasa,walau sudah menginjak ke hari ke-6 bagi AidilAdha yang penuh mulia ini.Dan kita doakan bersama,moga bahang ini,terus dirasa sepanjang hayat kita,bahang dari maraan api pengorbanan ini,agar memberi kehangatan dalam setiap penjuru kehidupan kita.Mudah mudahan.
Eidul Adha,bukan sekadar  hari raya,bukan sekadar hari bersuka ria,bukan sekadar hari penyembelihan lembu,kambing dan unta di merata-rata!
Nyata disebalik hari mulia ini,ada 1001 sirah yang pastinya mencoret ibrah!Sangat pasti…

Hari raya haji ini disebut juga dengan Edul adha atau idul Qurban. Qurban dalam bahasa Arab sendiri disebut dengan qurbah yang membawa maksud mendekatkan diri kepada Allah. Sesungguhnya,anjuran berqurban ini bermula sejak sekian lama,dimana peristiwa ini adalah merupakan perintah Allah kepada Nabi Ibrahim agar melakukan penyembelihan kepada putra yang amat dikasihinya yakni Nabi Ismail. Peristiwa ini memberikan kesan yang mendalam bagi kita. Ianya sebuah peristiwa yang menghamparkan kita seribu satu kesayuan bagi yang menghayati dan mengamati.Mengapa begitu?
Kita ketahui, Nabi Ibrahim telah menunggu kehadiran buah hati selama bertahun-tahun lamanya.Dengan penuh kesabaran dan ketabahan baginda menempuh dugaan ini.Bagi setiap pasangan,semestinya untuk memiliki cahaya mata adalah suatu perkara yang diidamkan bukan?
Lihatlah,begitu juga baginda dan isteri.Namun,dugaan ini nyata menambah iman dan menjana taqwa mereka.Sabar,redha dan pasrah..berdoa dan terus berdoa adalah senjata orang beriman.Dengan kasih dan rahmat Tuhan,mereka menerima anugerah kelahiran Nabi Ismail yang cukup istimewa dan berharga setelah sekian  lama menanti.
Namun,Tuhan itu Maha Penyayang,DIA sayangkan hambanya yang beriman,ternyata Baginda diuji Tuhan untuk menyembelih puteranya sendiri, Ismail.
Titah sang Pencipta kepada Ibrahim untuk menyembelih anaknya dilaksanakan dengan penuh ketaatan dan ketaqwaan.Disaat Nabi Ibrahim sedang dalam kebahagian yang indah bersama  anak kesayangannya itu ,baginda tega dengan cinta TuhanNya,berbanding nyawa anaknya,kerana pasti dan yakin,ada hikmah yang besar disebalik ujian yang diterima ini.Ketaqwaan  yang utuh turut terpamer pada sang anak yang akan disembelih,saat disampaikan khbar akan berita berunsur perintah itu,nyata Nabi Ismail sendiri merelakannya,dengan penuh ikhlas baginda menyerahkan jiwa dan raga untuk dikorbankan.Allah..sungguh mulia dan tinggi iman mereka!Namun akhirnya,Nabi Ismail tidak disembelih bahkan digantikan seekor kibas. Kisah ini diabadikan dalam al Quran surat al Shaffat ayat 102-109.
Pengorbanan memang suatu yang memeritkan,namun bagi yang yakin dan beriman dengan sebenarnya,tiada apa yang utama melainkan ketaataan dan ketaqwaan yang setingginya bagi Sang Pencipta!
Sungguh sirah ini mengandung pembelajaran dan pengajaran penting bagi segenap kehidupan kita sebagai Muslim.
Korbankanlah dunia yang sementara buatmu,kerana akhirat yang abadi terlalu manis bagimu!

Friday, October 12, 2012

cinta selamanya..



       Puja dan puji hanya untukNya..selawat dan salam buat junjungan mulia..

Dengan namaNya tinta maya dilakar..

sungguh,kesyukuran padaNya tidak dapat kita hitung setinggi pemberian dan kurniaanNya yang tidak

terhingga..tanpa kita sedar;

_sepasang mata masih memandang cahaya

_sepasang telinga masih bisa menangkap bunyi.

_sepasang kaki masih upaya melangkah di muka bumi..dan tanpa kita sedari..

_sepasang tangan masih terus bergerak,jari jemari masih dapat terus menari..iya bukan??

jadi apalagi yang dapat dituturkan, selain pujian dan sanjungan yang hanya dan selayaknya padaNya..Tuhan

yang Maha Pemurah..


         Merentas masa,mengejar dalam kehidupan..sungguh,kewajiban itu lebih banyak dari waktu..

sudah lama rasanya terhenti lakaran dan perkongsian..namun berhenti bukan tanda penamat dalam jalan

dakwah ini..berhenti hamba bagi melaksana tanggungjawab yang lebih utama..berhenti sementara kerana

ingin men'top-up' pengalaman dan ilmu yang sedikit cuma..dengan harapan bermakna dan berguna buat diri

dan semua yang dikasihi..


JAMBATAN CINTA KITA

'Indahnya hidup tanpa derita'..

'Suami isteri paling bahagia:Melayari cinta dan mengharungi masa'..

Membaca jambatan ilmu bukan??

Namun dari jambatan ilmu itu juga dapat hamba bina jambatan cinta berhampirannya..

Pelik bukan??..tapi itulah kebenaran,dua judul di atas adalah hadiah buku pemberian suami tercinta

sempena ulang tahun kelahiran hamba yang ke 22..terima kasih imamku..suami yang ku cintai keranaNya..

Alhamdulillah..seraut wajah suami yang penuh kasih dan sayang menghulur pemberian..menghantar sejuta

 harapan..agar isteri di hadapannya ini,bisa menjadi bidadarinya di dunia dan akhirat kelak..

IAllah kekasih ku..suami yang mulia..

      Moga bahtera rumahtangga ini dapat kita nakhoda bersama,mengharung badai dengan mawaddah dan

rahmah,agar kelak..kita sampai ke destinasi yg penuh sakinah..Moga disinari redha dan maghfirahNya yang

berpanjangan..

Cinta ini tulus keranaNya..Bersemi,berpadu dalam rangkul CintaNya...Ameen..

Monday, August 13, 2012

Pengikat Cinta dan Kasih..

Assalamualaikum wbt..

Bismillah.Dengan namaNya tinta kembali terlakar.

      Alhamdulillah..pertama dan selamanya..puja dan puji hanya layak bagi Tuhan Yang Maha

Pemurah..syukur,kerana kita masih diberi peluang untuk terus menghirup nafas segar pada hari baru..syukur

 jua kerana nikmat iman dan Islam itu masih kita nikmati dan hayati insya Allah..


     Alhamdulillah..segala puji buatmu Tuhan..dengan kasih dan sayangmu..bertambahlah sudah ahli

keluargaku..permata ini,anugerah tak terhingga dari mu..Syukur..zuriat pertama dalam hidupku dan suami

selamat dilahirkan pada 6 Ramadhan yang lalu..pengikat cinta kami ini lahir dengan selamat,dengan berat

2.88 kg..cahaya mata ini empunya nama UWAIS AL-QORNI BIN MUHAMMAD 

HAFIZUDDIN..

        Alhamdulillah..hampir 10 bulan dalam kandungan..kini pergi sudah segala keperitan dengan

 hadir si dia penyejuk mata,memberi ketenangan...



ZURIAT INI...

zuriat ini..
anugerah terindah
lahirnya menghambat gundah..

zuriat ini..
hadiah teristimewa
bersamanya mendamai jiwa..

zuriat ini..
amanah Illahi
akan kucorak acuan Rabbani..

zuriat ini..
pengikat,penyatu
kasih dan cinta bersamamu suamiku..

zuriat ini..
wajahnya suci
memandangnya mengagung Illahi..

zuriat ini..
alamat sayang dan kasihku..
tanda kuatnya cintaku..
tulus murni buatmu..
suamiku

zuriat ini..
moga hadirnya mencambah kasih kita
mengerat jalinan cinta..
dibawah lindungan cahaya
..cintaNya..





Monday, July 16, 2012

Ia kembali,bersediakah diri??


Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah..dalam tinta ilmi hati-hati kita ditautkan kembali,moga wadah ini mencambah iman dalam diri

kita semua hendakNya..syukur...

Begitu cepat detik berdetik,begitu laju masa berlalu..betapa tidak upaya untuk kita menangkap,menambat

dan mengikat 'masa',agar segala beban dan tanggungjawab terlaksana sebaiknya,tiada yang

tertangguh..sempurna!

Benarlah bicara hikmah Murabbi As-Syahid Hassan Al-Banna:

"Tanggungjawab itu lebih banyak daripada masa.."

Sedar ataupun tidak..Sya'aban yang mulia semakin melangkah pergi meninggalkan kita.Sudah pasti

Ramadhan,satu bulan yang penuh keistimewaan dan limpahan ganjaran bakal menjelmakan

dirinya.Kehadirannya amat di nanti bagi jiwa-jiwa suci yang merindukan suatu madrasah dan universiti yang

penuh dengan tarbiyah rabbani yang menyubur ruhani..dan tidak mustahil juga menjadi suatu perkara yang

tidak diingini bagi mereka yang mungkin semakin,hampir atau mati hatinya..Na'udzubillah min dzalik..


RAMADHAN DINANTI..KEHADIRANNYA DIHAYATI..


FirmanNya dalam Kalam yang agung ada menyebut:

"Bulan Ramadhan ialah bulan yang di dalamnya diturunkan Al-quran sebagai petunjuk bagi 

manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza(antara yang hak dan 

batil)...."_Al-Baqarah:185


       Sesungguhnya bulan Ramadhan ialah bulan umat,bulan inilah yang padanya ada

keberkatan,kemuliaan,keistimewaan yang tak terhitung nilainya.Sungguh ia 'syurga' bagi mereka yang

menyintai jalan ketaqwaan dan 'neraka' bagi mereka yang sering mengintai-intai jalan kefasikan.

Jalan ketaqwaan adalah jalan untuk mendekatkan diri kepadaNya.  Sebaliknya, jalan kefasikan adalah jalan

jalan yang akan menjauhkan kita dari padaNya.

Jalan ketaqwaan adalah jalan yang penuh dengan 1001 kesulitan dan  pendakian, penuh cubaan dan godaan,

 semua ini adalah kerana jalan ini tidak sesuai dengan hawa nafsu manusia yang selalu inginkan kebebasan.

 Hakikat yang pasti,untuk menjaga diri agar tetap berada diatasnya adalah sangat sulit, tetapi bagi yang tetap

padanya akan mendapat ganjaran yang baik pula, sesuai dengan kadar kekuatan dan kepayahan saat berada

 pada-jalan tersebut.

    Namun sebaliknya pula bagi Jalan kefasikan,ia adalah ibarat satu jalan yang licin, mulus tidak berlubang,

menyebabkan orang senang diatasnya,selain ia amat mudahbagi kita melaluinya. Manusia sentiasa berada

selesa di atas jalan yang penuh fitnah ini.


   Jalan ketaqwaan adalah jalan orang-orang yang memahami hakikat penciptaannya. Mereka yang berada di

jalan ini menyedari bahawa dirinya adalah ‘abdu, hamba, budak yang harus mematuhi semua perintah

 tuannya, yang tidak dapat lagi untuk tawar menawar dan menolak ketetapan yang sudah diputuskan

 tuannya.Dia ikhlas dan asyik dalam melaksanakan ibadah dan tanggungjawab sebagai sang hamba.Jalan ini

adalah syurga bagi mereka.Sebaliknya pula yang berlaku bagi golongan jalan kefasikan.

  Jalan ini ialah jalan  orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuannya,dan hidupnya dicorak 

dan diatur oleh hawa nafsu yang hina,yang pada akhirnya, ...  jalan kefasikan ini menghantarkan mereka 

kepada an-Naar, neraka jahannam sedangkan jalan ketaqwaan adalah jalan menuju Al-Jannah, syurga yang

 penuh kenikmatan.

Dengan penuh kerendahan hati,bersamalah kita berdoa dan berusaha agar kita termasuk dari kalangan

mereka yang berada dan beramal pada jalan ketaqwaan.

Sesungguhnya Ramadhan adalah satu bulan yang penuh rahmah,maghfirah dan barakah.Bersama kita menuai

 Taqwa dari madrasah Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi dengan mengisi dan menghayatinya dengan

 penuh kesedaran dan penghayatan.

Andai ia Ramadhan terakhir bagi kita??!..

Tinta turut memesan pada qalbi dan nafsi.

W'alam.

Ramadhan Kareem.





Saturday, July 7, 2012

Alhamdulillah..

Puji dan syukur hanya dan selayak bagiNya..tanpa kita sedar,perjalanan hidup ini terus kita lalui dengan

izinNya..nafas baru terus kita kecapi..warna hari baru masih lagi dapat kita perhati..dan yang paling

bernilai..nikmat iman dan Islam ini terus kita nikmat..segalanya tidak akan dapat kita rasai tanpa rahmat dan

izinNya yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..Syukur Tuhan...Alhamdulillah..



Menghitung Hari..


Alhamdulillah..kalendar dan jadual ketibaan kelahiran orang baru dalam rumah tangga yang dibina

ini,merangkap bakal zuriatku dan suami tercinta saban hari ditatapi..dikira dan dihitung..Sungguh..semakin

dekat menghampirkan diri, semakin debar dan tak sabar diri...

Anak ini..anugerah tak terhingga dari Illahi..Dialah amanah,dialah anugerah..Syukur..kandungan memasuki

minggu ke 38 dan 2 hari...

Semakin dekat..dan akan terusku hitung hari hingga tiba waktu yang ditetapkan Illahi..saat kelahiran

zuriat.anugerah yang bernilai dari Illahi....Moga dipermudahkan segala urusan dan perancangan...DariNya

kekuatan dan pertolongan diharapkan..Moga hamba kuat dalam pelayaran kehidupan sebagai

hambaNya,isteri bagi suami tercinta,anak dan menantu pada ayahanda bonda,pelajar dan jua sebagai

penuntut dijalan ilmu yang masih panjang ini..Ameen ya Rabb..


                           
                             Zuriat ini..Moga berkilau sinarannya buat diri,keluarga,dan agama.......



Tinta berhenti seketika..sungguh tanggungjawab itu mengatasi dan lebih banyak dari

masa.....!Assalamualaikum...




"Rumah tangga yang harmoni ialah yang dibina dari tiang-tiang mawaddah dan rahmah,beratapkan redha dan keberkatan dariNya...."




Monday, June 11, 2012



Sakinahmu dihati..

     Terkedu ..kaku pandangannya,bebola matanya ligat memerhati..sungguh,tenang benar aliran air di tasik yang terbentang indah di depannya kini.Subhanallah,Maha Suci Allah..

      Lantas lisan meratib zikir,mengalun,melontar sanjungan dan keagungan..pada si Dia..Maha Agung.Terlerai segala kekusutan,terurai segala kesulitan,terungkai segala keresahan.Tenang jiwanya kini.
Sungguh benar,merenung dan memerhati kehebatan ciptaanNya,membawa jiwa kita bersama untuk menyanjungi dan mengangumi kekuasaan di sebalik ciptaan..Sang Pencipta.Lantas jiwa mengingati dan bibir meratib doa,merintih,merayu hanya padaNya.

     “Tuhan..ku mohon pimpinan atas setiap tindakan..ku pohon,ku pohon kekuatan atas setiap ketidakupayaan….”

     Seringkali insan..berbicara dan bertanya,di saat ujianNya menimpa,sedang sedikit cuma jika dibandingkan dengan perit dan payahnya ujian mereka-mereka terdahulu..

    Para Nabi dan salafus soleh,mereka mulia dan teguh dalam perjuangan kelangsungan dari mehnah dan ujian yang diberi..mereka berasa nikmat dalam cubaan yang diberikan,manis dirasakan kerana pada jiwa-jiwa mereka terselit dan tertanam utuh keyakinan pada Sang Pemberi ujian.Pasti ada yang terbaik yang direncanakanNya dan pasti ada suatu yang manis dan teramat indah dihujung keperitan yang dilalui..


 Andai kita insan sering bertanya,
“mengapa kita sering diuji..?”..
Ajukanlah pertanyaan itu pada kalamNya,FirmanNya akan kita ketemukan,

“Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan berkata,”Kami telah beriman,”sedangkan mereka tidak diuji?(al-ankabut:2)

Dan kita bertanya lagi,
“mengapakah berat ujian ini?”
Tuhan menjawab kembali dengan kalamNya,

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan dengan kesanggupannya..”(al-baqarah:286)

Setelah kita semakin hampir redha untuk menempuh ujian yang tiba,kita bertanya lagi,
“ya Allah,bagaimana aku nak hadapi ni..?”
Bertanyalah dan rujuklah kembali firmanNya..Dia ada memberi panduan..

“Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat..”(al-baqarah:45)

Namun ya Allah..
“sampai bila ujian ini harus dijalani?
Insan..renung kembali bicaraNya..

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kepayahan.”(al-insyirah:5)

Lihatlah,betapa Tuhan tidak pernah menzalimi hambaNya,Dia menciptakan sesuatu itu pasti Dia ciptakan hikmah disebaliknya.
Dia tidak menciptakan siang tanpa matahari,tidak pula menciptakan malam tanpa bulan..sungguh indah tiap aturan dan rencanaNya.

Begitu jualah buat insan,Dia tidak menciptakan kesulitan itu membelit dan membelenggu insan berpanjangan,kerana bersama kesulitan itu jua,Dia telah ciptakan bersama kesenangan dan kemudahan yang hakiki.

Usai kita menjalani dan menongkah arus hidup..pasti tiap ujian dan cubaan yang menimpa itu menjadikan kita lemah dan tak berdaya,namun insan..

Bukankah kita makhluk yang diciptakan Tuhan..

Andai sebuah kereta yang dicipta pakar aotomotif  mengalami kerosakan,bukankah pada pakar tadi yang akan kita adukan pertanyaan?

Maka,begitu jualah halnya insan..

.Dia Sang Pencipta,yang mencipta kita,maka Dia tahu segalanya,zahir,batin,suka dan duka kita..maka mengapa mencari lagi…?

Hanyalah Dia tempat bergantung harap dan sandaran atas tiap yang berlaku..

“…..cukuplah Allah bagiku,tidak ada Tuhan selain Dia,Hanya kepada Dia aku bertawakal,dan Dialah Tuahn yang memiliki ‘Arsy(singgahsana yang agung”.(at-taubah:129)

Dan..duhai jiwa-jiwa yang tenang..kembalilah kepada Tuhanmu dengan penuh ketenangan

Wallahu’alam..Tinta berhenti melakar seketika





Wednesday, May 30, 2012

Bukan bicaraku,namun Kalam dariNya Yang Satu!


Duhai Pemimpin,Aku tidak melihat dimana agama dalam dirimu.. disaat..

 ‘Yang Mungkar Engkau Serukan,Yang Makruf Engkau Nahyukan’

    Bukanlah ia suatu yang baru mendatang,bukan jua suatu ajakan dan nasihat yang baru tiba dan bukan juga satu panduan yang baru kita jumpa,bahkan sudah lebih 1400 tahun ia datang dengan penuh kemuliaan bersama wasilah Rasul mulia,Junjungan Besar Baginda Muhammad s.a.w.

   Kebenaran dari setiap kepalsuan,jawaban dari setiap pertanyaan,kesenangan dari setiap kesulitan,ia hadir lengkap,melengkapkan kehidupan insani.Hakikatnya ia suatu ‘pakej’ modul yang diperlukan setiap yang bergelar insan dalam melayari bahtera kehidupan.

    Ia bukanlah sebuah manuskrip ciptaan insan,bukan jua satu madah pujangga nukilan seniman,bahkan padanya segala keizzahan yang tiada tandingan.Ia Al-Quran,Kitab Suci,Kalam mulia,teragung dari Tuhan Sekalian Alam!..Dialah Dzat yang tiada tandingan.!

   Nah..Jadi..siapa kita untuk lebih dari Tuhan?siapa kita untuk menidakkan kalamNya?siapa kita untuk mempermainkan tiap hukum yang ditentukan?..

    Perhatikan,perintahNya ada menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran dan menjadi kewajiban bagi tiap-tiap orang yang beriman.

(QS. 3: 104): “Adakanlah tiap-tiap kamu ummat yang mengajak kebaikan menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang membuat yang salah. Mereka itulah orang orang yang beruntung.”

     Ayat ini wajib dilaksanakan,disiarkan secara teratur luas, selaras dengan tempat, masa keadaan untuk membawa ummat manusia ke jalan kebaikan. Menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang melakukan yang salah.

     Kemungkaran yang semakin mengikat kita saat ini, sehingga kita tidak mampu lagi menyuruh berbuat kebaikan adalah kerana semakin rosaknya aqidah kita. Kembali kita telusuri kenapa aqidah ummat Islam jadi merosot. Bahkan di antara kita ada yang aqidahnya betul-betul tidak mampu lagi untuk dinilai.

     Kita tertanya-tanya,mengapa dikalangan ummat Islam sendiri rasa cinta terhadap ajaran agamanya sangat tipis?

   Mengapa tidak kita perhatikan,aneka produk (barang), seni musik, atau apa saja yang merupakan buah karya selain Islam telah juah meresap kedalam jiwa dan ruhani insane yang bergelar Islam sendiri. Bahkan ada yang merasa rendah diri dan ortodoks jika memakai apa saja yang yang dibawa dari acuan Islam. Sungguh menyedihkan.

   Mungkin untuk menegakkan kebenaran kita perlu berkorban. Tapi apakah menegakkan kebenaran tanpa mencegah kemungkaran dapat menjadikan ummat Islam menjadi murni kembali moral dan luhurnya akhlak mereka?

   Sesungguhnya tidak dapat disangkal lagi, “Amar makruf,nahyu mungkar” merupakan perintah Allah yang harus dikerjakan sekaligus. Keadilan dan kebenaran yang ditegakkan tanpa mencegah atau bahkan menghancurkan kemungkaran akan tetap membawa kita ke alam kesesatan.

   Seandainya sesebuah negara dikemudi oleh orang yang tidak mengerti Allah dan agama dan tetap berkiblat pada yang selain Islam maka perhatikanlah moral insane khususnya anak muda dan belia akan semakin dan terus dalam kebobrokan yang dahsyat!

   Tanpa sedar telah banyak kita  menciptakan banyak kemungkaran di mana-mana. Kebenaran telah pun ditertawakan dan diinjak-injak. Tiada jalan keluar dari masalah ini melainkan dengan kita kembali berpegang teguh dengan kerangka dan bingkai pandangan Allah s.w.t,serta memetik panduan daru Baginda Muhammad s.a.w.Itulah sebaik-baik pegangan!


       "hiduplah berpaksikan kalimah mulia ini yang padanya ada keagungan dan kemuliaan"

Monday, April 2, 2012


Membenih Cinta ..



  
  
     Berbicara mengenai cinta..Cinta..suatu frasa yang bukan bersifat abstrak semata,namun tersirat seribu satu aura..kerana cinta,insane yg berkasih sanggup berkorban kerananya,kerana cinta,insan kuat dalam likuan hidupnya,kerana cinta,jurang api dirasa bagai air sejuk yg menghilang dahaga,kerana cinta,kaca dianggap permata..dan adakalanya,kerana cinta,hawa nafsu diturutkan sahaja..dan jangan lupa disana,kerana cinta jualah,langkah kecil anak-anak Palestin itu berani,mampir ke perisai kebal penguasa durjana!..semuanya hanya kerana cinta..

    Namun,dalam menjalani hidup yang penuh sandiwara,pesona yang menggamit daya,insane seringkali terleka,terpesona dengan segala fatamorgana dunia,sedang kehidupan ini hanyalah satu persinggahan sementara,satu permainan dan keseronokan yang fana..insan lupa,rakus dan tamak dengannya.

“Perumpamaan dunia itu ialah ibarat bangkai yang dikelililngi oleh serigala-serigala..”

Allah telah berfirman:

"Ketahuilah, jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu
usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih
kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan
keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik"

                                                                                                                 (QS. At-Taubah:24)



    Sungguh jelas,bahawa kehidupan ini syurga bagi orang yang leka,dan penjara bagi mereka yang bertaqwa.
   
      Selaku hamba,makhluk yang dicipta penuh indah olehNya,tidak terasakah walau secebis cuma di sudut dasar hati akan rahmat dan kasih-sayangNya kepada kita selama ini?sudahkah kita hadirkan tanda kesyukuran kita terhadap segala anugerahNya?..dan yang paling utama..sudahkah kita menanam,membenih dan menuai Cinta dengan dan dariNya?..Cinta yang sebenar benar cinta..yang hakiki dan teragung hanya untukNya??..

Hikmah bicara ulama terkenal Ibnu al-Qayyim mengenai sepuluh amalan yang dapat menanamkan kecintaaan kepadaNya:



v  Membaca Al-Quran dan memahaminya.
v  Mendekatkan diri kepada Allah dengan menjalankan sunnah-sunnah sesudah selesai menjalankan kewajiban.
v  Selalu berdzikir dalam segala kondisi, dengan lidah, hati, dan amal perbuatan.
v  Mengutamakan apa yang dicintai Allah terutama jika berkait dengan hawa nafsu kita.
v  Mengingat dan menyebut nama-nama dan sifat-sifat Allah yang mulia (Asmaullah Al-Husna) sambil
v  meresapinya.
v  Memerhatikan kurnia dan pemberian Allah baik yang terlihat mahupun yang tidak terlihat.
v  Menundukan hati sepenuhnya kepada Allah SWT.
v  Menyendiri di waktu malam untuk solat tahajjud, membaca Al-Quran dan bermunajat kepada Allah SWT.
v  Bergaul dengan para ulama dan orang-orang soleh, serta mengambil buah fikiran dan pengajaran yang baik dari bicara mereka.
v  Menghindari segala macam hal yang dapat mempengaruhi hubungan hati kita kepada Allah SWT …



Bersamalah kita berusaha semaksima mungkin dalam rencana bagi membina cinta dan meraih CintaNYA…

                _MERASAI ALLAH ITU ADA DIMANA-MANA_

Sunday, March 18, 2012

mencarilah..


KAU TIDAK BERSENDIRI
(i)
Andai semalam,
Kau rasakan..
Potret hatimu suram,
Andai semalam,
Kau rasakan..
Sinar nubarimu kelam,
Andai semalam,
Kau rasakan..
Langkahmu sering melalui curam..
Andai semalam,
Kau rasakan..
Ceritera dukamu sentiasa terpendam,
Dan..
Andai semalam,
Kau rasakan..
Pelita hidupmu hampir terpadam…
Pandanglah hadapan,
Alihkan wajah..
Pandanglah kanan,
Pandanglah kiri..
Mereka ada bukan??
Bibir yang setia menguntum ukiran damai,
Riak wajah yang menggamit permai,
Mulia tangan yang meringan beban,
Murni pekerti yang mendamaikan,
Manis bicara yang mempamer iman,
Yang segalanya..
Telah merubah wajah,
Mencipta wadah..
Menukar episode dirimu..
Yang semalam sirna kesuraman..
Membentuk sinar..
Menerobos jauh bahagia itu..
ke dalam lubuk cerita lamamu..
Mencipta warna-warna indah..
Melakar pelangi di hatimu..

(ii)
Andai hari ini,
Kau rasakan..
Potret hatimu riang,
Andai hari ini,
Kau rasakan..
Sinar nubarimu gemilang,
Andai hari ini,
Kau rasakan..
Langkahmu melalui jalan lapang..
Andai hari ini,
Kau rasakan..
Ceritera dukamu bertukar tenang,
Dan..
Andai hari ini,
Kau rasakan..
Sinar pelita hidupmu kembali menyala…
Menjulang..
Bersyukurlah..
Kau tidak kesunyian bukan??
Kau ada mereka..
Yang setia..
Yang tetap bersama..
Kerana..
Bukankah mereka
Yang bernama teman,kawan dan taulan...?
 

Saturday, March 17, 2012

..'tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri...'_as-Sunnah


Bismillah..Alhamdulillah..

    Segala yang dirancang berjalan dengan izin dan inayahNya,hati-hati ini bertaut lagi dalam

halaqah..Benarlah hakikat insan itu,saling memerlukan..Maha Pencipta,sungguh cantik aturan alamnya..andai

segala yang ada dimuka bumi ini dicipta berpasangan dan bertujuan..begitu jualah pada insan..Tuhan Yang

Maha Kuasa,Maha Pencipta..


-tidak mencipta malam bersendirian,diciptakan bersama bulan yang menyinar rembulan
-tidak mencipta siang tanpa matahari,saling berperanan memberi..
-tidak mencipta langit bersendirian,disemarakkan awanan memayungi alam..

    Indah dan cantik aturanNya,pasti punya hikmah dan sebabnya..Kerana padaNya segala kemuliaan dan

keagungan..Dia Yang Menciptakan sesuatu,pasti Dia Yang Terlebih Mengetahui akan periahl

ciptaanNya..Ibarat pereka dan pencipta model-model kereta,pasti hanya mereka yang tahu akan keadaan

buatan mereka,maka diselenggara ciptaan,ditambah peralatan canggih yang mampan..demi kebaikan sebuah

kereta,kerana mereka ingin yang terbaik buat ciptaan yang diusahakan..


    Inikan pula Tuhan,Dzat Agung yang penuh ketinggian,sudah pasti Dia Tahu perihal insan..hakikat dan

naluri diri,jiwa yang sendiri tak mampu utk terus hidup,menapak langkah,mencipta kehidupan

bersendiri..maka diciptakan insan dengan penuh kepelbagaian..wujudlah insan yang bergelar

teman,kawan,rakan,sahabat..hadir mereka jangan disiakan..setiap kita dicipta dengan kelebihan

tersendiri...dan yang pasti tiap kita punya kelemahan yang merupakan fitrah insan.untuk meletakkan diri kita

sebagai orang sempurna..berhentilah dari beranggapan dan menaruh anggapan ini,kerana tiada diantara kita

insan yg sempurna melainkan Junjungan yang mulia,maksum..yang terpelihara hayatnya...


     Maka akurlah pada hakikat dan fitrah..kita tidak dicpta bersendiri..manfaatkan insan yang hadir 

disekelillng kita,hubungkanlah silah yang tersedia ini,berkasih dan bersayanglah hanya keranaNya..

# bukankah Islam itu tertegak dengan wehdah??
# bukankah Islam itu mahsyur dengan izzahnya ummah??

Ayuh bersama,tautkan kembali pautan kian terputus..silahkan kembali jalinan ini demiNYA..atas nama

Islam dan hanya untuk kembalikan keizzahan Islam yang kian dibuai gelora kerana kejelikan insan

sendiri..Ingatlah..Islam hanya mampu menjadi satu agama yang terulung seantero dunia bilamana insan dan

umat bersatu..Anda tidak mampu membawa millah ini bersendiri..pasti!!!

Ukhwah itu indah,andai dijalin kerana Allah..dengan Bismillah jalinan indah terbina,biarlah kalimah Innalillah yang menjadi penyudah..

Thursday, March 15, 2012

Qurratu Ain..

Bismillahirrahmaanirraahiim...

 Alhamdulillah,puja dan puji selayaknya hanya untuk Dia ,Yang Maha Agung lagi Maha Pemurah..
dengan rahmat dan izinNya:

 -helaan nafas ini masih kita nikmati 
 -nikmat Iman dan Islam terus kita rasai 
 -sinar mentari Subuh di hari baru dapat kita rasa kembali.
 -rencana kerja-kerja semalam dapat kita sudahkan lagi.. 
 -mata terus dapat melihat warna dunia,panorama alamNya 
 -telinga masih mampu mendengar seru azan,Kalam Tuhan,bicara hikmah ilmuan.. 
 -hidung terus menangkap bau bauan yang tak terkira.. 
 -mulut terus menerima maidah rezekiNya,masih mampu menutur bicara,masih mampu meratib kalamNYA,masih bisa menutur buah hikmah..
 -tangan meneruskan tugasnya..
 -kaki gagah terus melangkah... 

 Syukur..setinggi dan selayak hanya utkNya..

 Alhamdulillah..zuriat yang dikandung semakin melebarkan tumbesarannya,hampir memasuki bulan

kelima.Anakku,moga kekuatan dan ketabahan dalam mengandungkanmu,melahir dan membesar dan

mendidikmu kelak diberkati semuanya..Kan terus dan tetap kami berdoa buatmu sayang..Kelahiranmu

dinantikan..moga bersinar nilaianmu buat dirimu,keluarga dan Islam tercinta..


"ya Allah,peliharalah anakku selama ia berada dalam kandunganku,dan sihatkanlah 


ia,Engkaulah yang Menyembuhkan,tidak ada penyembuhan selain 


penyembuhanMu,Penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.Ya Allah ya 


Tuhanku,rupakanlah atau bentukkanlah dia yang berada dalam kandunganku ini dengan rupa 


yang baik,dan tetapkanlah ke dalam hatinya iman kepada Engkau dan RasulMu.Ya 


Allah,keluarkanlah anakku ini dari perutku dengan mudah dan selamat,Ya Allah jadikanlah 


anak ini sihat yang sempurna akal dan bijaksana,alim dan beramal,Ya Allah panjangkanlah 


umurnya,sihatkanlah badannya,dan baikkanlah akhlaknya,fasihkanlah lisannya,baguskanlah 


suaranya untuk membaca KalamMu dan Hadis dengan berkat Nabi Muhammad s.a.w,dan segala 


puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..." Ameen ya Rabbal Alamin..








Sunday, February 19, 2012

Dua wajah yang mencoret ibrah..

Assalamualaikum..

Seperti biasa,hari-hari di BUMI KINANAH ni terus hamba jalani..hampir 5 bulan sudah berkelana di bumi para Anbiya' ini...putih,hitam warna kehidupan di sini semakin dikenali..Duka untuk hamba khabarkan akan wajah keperitan yang dipamerkan anak-anak kecil di sini..Namun,uka juga untuk hamba ceritakan ...satu panorama indah yang cukup saya kagumi..padanya terzahir keindahan Islam..syiar Islam..yang mana ia juga anjuran dan sunnah Nabi Junjungan..

WAJAH SATU..




Bagaimana pandangan kallian??Cukuplah hanya gambar yang berbicara..beginilah realiti yang dapat hamba gambarkan..setiap hari menjalani rutin harian sebagai pelajar,melangkahkan kaki menuju ke 'mahattah',pasti panorama ini kerap kali terbentang..

terfikir sejenak dengan kesenangan dan kemewahan anak-anak bangsa Malaysia sendiri..yang adakalanya kesenangan yang mereka kecapi membawa kepada keruntuhan akhlak diri mereka sendiri..Buat anak Malaysia,pelajarilah walau secebis dari mereka...Bersyukurkah kita atas nikmat dan pemberian Tuhan yang mencurah-mencurah selama ini..???
Anak-anak ini sedar akan kekurangan dan kesempitan yang dihadapi,yang kadangkala tergadai masa yang berharga bagi umur seperti mereka..belajar,bermain....

Anak-anak ini..matang berbanding dari usianya...

Wallahutaala 'alamm




WAJAH DUA..


Selalu sahaja hamba ketemukan..

Saat mereka bertemu manusia di jalanan,"Salam 'alaik.."

Saat mereka memasuki kedai,"Salam 'alaik.."

Saat mereka menaiki kenderaan awam,tidak kira bus,'trenco'(panggilan utk pengangkutan berbentuk van),teksi..pasti kalam "Salam 'alaik yang meniti dibibir mereka...

Ucapan salam itu mereka hulurkan kepada siapa yang mereka jumpa..tidak kira yang mereka kenal atau tidak..sungguh..indah budi bahasa mereka dalam potret Salam ini...

Walau dalam sebahagian keadaan dan hal..ada perkara yang kita kurang senangi,namun dalam hal di atas..sesuatu yang baik dapat kita pelajari bukan???..dan mungkin ini suatu yang sukar kita ketemui dan jarang dijumpai Malaysia yang dicintai..salam diberi hanya pada yang dikenali..dan itupun jarang kali dituturi..

Semoga Ibrahnya..kita kutip bersama...

Tuesday, February 14, 2012

Hari Kekasih yg diagungkan..



Bismillahirrahmanirrahim...

Hadis Rasulullah s.a.w:“ Barang siapa yang meniru atau mengikuti suatu kaum (agama) maka dia termasuk kaum (agama) itu”.

14 Februari..satu tarikh yg cukup diagung dan dipuja umat masa kini.Tarikh ini cukup sinonim

bagi pasangan kekasih,terutama anak muda remaja,tidak kira dari peringkat umur mana

sekalipun,hatta adik-adik kita disekolah rendah sendiri yang sudah terjun dalam budaya 'couple

mengouple' yg tidak dianjurkan Islam ini.Perkara sebegini bukanlah suatu yang

menghairankan,kerana sedari dulu lagi pengaruh kuning ini telah meresap jauh ke jiwa dan

fikiran anak-anak,muda mudi Islam khususnya..Namun,disebalik keasyikan dan keghairahan mereka

dalam mengabdikan kenangan dan menzahirkan kasih syg yg kononnya menunjukkan kesetiaan dan

kecintaan yg tak terhingga kepada pasangan mereka..anak-anak dan muda mudi Islam tidak sedar

sebenarnya apa yg mereka lakukan ini adalah suatu yg amat buruk dan tidak patut dilakukan dan

diraikan..tambahan pula mereka adalah anak-anak dan generasi yg beragama Islam..Apakah

silapnya??mengapa akidah dan jiwa mereka dipergunakan dan dipengaruhi sewenangnya dengan mudah

oleh pihak barat dan golongan anti-Islam yang sekian lama tidak mereka sedari....


Amatlah mendukacitakan jika kita semua renungi dan ketahui kerana sesungguhnya sejarah

disebalik tarikh dan 'Valentine Day' ini,tersirat padanya sejarah satu bangsa yang sudah terang

lagi bersuluh perjalanan hidup yang jauh dari Islam malah akidah yang punya perbezaan yang

cukup ketara dengan Islam..

Perkara paling utama dan penting yang harus diketahui umum ialah,bahawa :

*
"VALENTINE" adalah nama seorang paderi. Namanya Pedro St. Valentino. 14 Februari 1492 adalah

hari kejatuhan Kerajaan Islam Sepanyol. Paderi ini umumkan atau isytiharkan hari tersebut

sebagai hari 'kasih sayang' kerana pada nya Islam adalah ZALIM!!! Tumbangnya Kerajaan Islam

Sepanyol dirayakan sebagai Hari Valentine


*
Pada tanggal 14 Februari 270 M, St. Valentine dibunuh karena pertentangannya

(pertelingkahan) dengan penguasa Romawi pada waktu itu iaitu Raja Claudius II (268 - 270 M).

Untuk mengagungkan dia (St. Valentine), yang dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan

kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka para pengikutnya memperingati kematian St.

Valentine sebagai 'upacara keagamaan'.


Tetapi sejak abad 16 M, 'upacara keagamaan' tersebut mulai beransur-ansur hilang dan berubah

menjadi 'perayaan bukan keagamaan'. Hari Valentine kemudian dihubungkan dengan pesta jamuan

kasih sayang bangsa Romawi kuno yang disebut “Supercalis” yang jatuh pada tanggal 15 Februari.


Setelah orang-orang Romawi itu masuk agama Nasrani(Kristian), pesta 'supercalis' kemudian

dikaitkan dengan upacara kematian St. Valentine. Penerimaan upacara kematian St. Valentine

sebagai 'hari kasih sayang' juga dikaitkan dengan kepercayaan orang Eropah bahwa waktu 'kasih

sayang' itu mulai bersemi 'bagai burung jantan dan betina' pada tanggal 14 Februari.

Dari sini dapat diambil kesimpulan bahwa moment(hal/saat/waktu) ini hanyalah tidak lebih

bercorak kepercayaan atau animisme belaka yang berusaha merosak 'akidah' muslim dan muslimah

sekaligus memperkenalkan gaya hidup barat dengan bertopengkan percintaan, perjodohan dan kasih

sayang.




Wahai umat Islam sekalian,khususnya buat anak-anak muda Islam yang disayangi,segeralah bangkit

dan sedar dari tidur lenamu yang panjang,kerana sesungguhnya kita telah lama dijajah jiwa dan

fikiran sedang tidak kita sedari...musuh-musuh yang ingin menjatuhkan umat Islam telah lama

memainkan peranan mereka..kepada kita tanggungjawab yang besar sebagai umat Islam agar segera

sedar dan segera meninggalkan amalan yang penuh dakyah busuk ini..

Dan...bukanlah kasih,syg dan percintaan itu patut kita alirkan pada hari dan tarikh

tertentu...bukankah sepanjang hayat ia yang kita inginkan..Namun ingatlah bersama..hanya yang

berkasih,bercinta atas landasan yang diredhaiNya yang pasti akan berbau harum hingga ke

syurga...

Firman Allah swt dalam Surah Al Baqarah ayat 120 :“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan

senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka.

Wednesday, February 1, 2012

HABIBUNA AL-MUSTOFA..


Bismillah..Assalamualaikum wbt..
Alhamdulillah,Assolatu wassalamu 'ala Rasulillah..s.a.w..

Sedar tidak sedar,dalam keasyikan kita semua menghitung hari,mengejar kesempurnaan dalam tiap amal,kerja dan tugas yg kita laksanakan..kita semakin menghampiri tarikh mulia itu kembali..tarikh yg bukan sekadar angka kosong semata,tapi tersirat padanya 1001 sirah,ibrah yang penuh hikmah dan bermakna..

Fajar 12 Rabiul Awal bakal menyingsing tiba tidak lama lagi,apa mungkin ada antara kita yg sedar,ada juga mungkin yang tidak menyedari kehadirannya dan barangkali juga langsung tidak peka tentang hal ni..Mohonlah ampun dan hidayahNya..kerana mungkin semakin terkikis kasih dan cinta kita pada kekasihNya..dan bagi jiwa-jiwa yg meyedari..syukurlah..kita masih punya rasa kasih pada Baginda Junjungan yg dirindui..

Namun..Perlu diingat..Kasih dan cinta bukan bertempat dan tertakluk pada masa,bukan semata dilafaz dan dizahir pada saat dan waktu tertentu...kerana andai kita menyintai seseorang..pastinya ingatan,kasih dan kecintaan kita pada yang dicintai..terus subur tanpa luput ditelan zaman..

Telah kita maklumi,kemanisan iman bagi orang yg beriamn dapat dirasa melalui beberapa cara,yg mana satu diantaranya ialah..bilamana..

*kita mencintai Allah dan Rasulnya melebihi segala galanya...

Bagaimana kita??..sudah merasa nikmatnya 'halawatul iman' itu?koreksi jiwa,tanyalah iman yg bermukim didada...

Andai benar kita menyintai Baginda:

-Berapa kali sudah kita meangalun selawat dititian bibir selama hidupnya kita sebagi insani,umat Nabi?
-Berapa dalamkah pengetahuan kita tentang sirahnya yg telah kita selam?
-Berapa banyak amalannya yg kita jadikan ikutan?
- Istiqamahkah kita dgn sunnah tinggalannya?
-Dan banyak lagi yg tak akan muat andai dicoret disini...

Sudahkah kita laksanakan,diman tahap kita berada?!

Apapun,siapapun dan dimanapun tahap kita..sedarlah..tiada yg lebih penting diakhirat kelak,saat diperhitungkan amalan kita melainkan pada saat itu,rahmah Tuhan dan syafaat Nabi yg kita amat perlukan..

Inginkah Nabi mengaku kita umatnya,andai satu selawat pun sukar kita alunkan???..
Allah....
Kurniakan kami keberkatan dalam amalan kehidupan..bimbing kami dgn tunjukan Quran dan Sunnah Nabi Junjungan...Ameenhu minal Aaminin..

Biar sedikit kuantiti amalan kita,asalnya istiqamah dan berkualiti nilaiannya..

ALLAHUMMA SOLLI 'ALA MUHAMMAD S.A.W...



_menjelang seru.

Saturday, January 21, 2012

1001 TAFSIR..bila gambar berbicara..



__________________________________________________________________________________________






___________________________________________________________________________________________

Allah mengurniakan keistimewaan yang tiada tandingan pada sebaik-baik ciptaanNya,makhluk yang dikurniakan akal fikiran dan diberi kewarasan utk fikir..sedang makhlukNya yang hanya dicipta dengan otak tanpa akal yang tiada kewarasan memberi 1001 pengajaran kepada kita yang bergelar insan dengan kemurniaan tingkah mereka..terserlah kezahiran ajaran Islam..BELAJAR DARI ALAM..

...tiada Islam tanpa JEMAAH...

wallahuta'ala a'lam..